Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang [Marang]: Assalamualaikum
warahmatullaahi wabarakaatuh, wassalamu’ala mani’taba’alhuda. Alhamdulillah hirabil
‘alamin, wabihi nasta’in, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyidina Muhammadin Asyrafil
anbiya wal mursalin, wa’ala alihi wasahbihi ajmain.
Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, seluruh pegawai kerajaan dan
para tetamu, ada tiga perkara besar yang menjadi rukun terpenting kepada belanjawan
negara. Yang pertama sumber kewangan, yang kedua pengurusan dan ketiga sasaran.
Kejayaan belanjawan bergantung kepada ketiga-tiga perkara ini. Sebarang
kelemahan atau kekurangan atau kecacatan menjadikannya gagal mencapai matlamat.
Ia memberi kesejahteraan kepada rakyat, kemajuan negara dalam erti kata yang
sebenarnya. Walaupun berapa banyak peruntukan kewangan, apa pun slogan yang
dicipta dan indahnya kata-kata yang diucap, kerana tanpa menyempurnakan rukunrukun
tersebut pasti memenuhi kegagalan. Kesemua rukun ini hendaklah dilaksanakan
dengan adil dan bijak secara makruf dan mencegah kemungkaran.
Menunaikan amanah perintah Allah dengan betul dan ikhlas. Allah menjanjikan
keberkatan. Firman Allah SWT [Membaca sepotong ayat al-Quran] yang bermaksud,
“Kalau sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa nescaya kami bukakan
untuk mereka keberkatan dari langit dan bumi. Akan tetapi mereka membohongi, lalu
kami bertindak ke atas mereka dengan sebab apa yang telah mereka usahakan.”
_1630
Perkataan berkat hanya berada dalam istilah ekonomi dan kewangan Islam
bermaksud memberi faedah dunia dan akhirat. Kata-kata ini cukup bermakna setelah
kita menyaksikan dan merasai tanda-tanda awal kemusnahan yang menimpa manusia
terkini. Tempiasnya juga dirasai di sini. Kita semua menerima Islam menjadi agama
Persekutuan, termaktub dalam Perlembagaan dan hak kepada penganut kepada agama
lain dengan adil. Kerajaan wajib membebaskan pemikiran sempit yang membelenggu
pelaksanaan Islam secara menyeluruh dan melaksanakan Islam secara teragak-agak
dan terpilih, bukannya secara mengabdikan diri kepada Allah.
Saya ingin mengemukakan dasar dan konsep Islam dalam belanjawan negara
bagi mengisi ketiga-tiga rukun belanjawan tersebut. Saya yakin dan percaya perbezaan
agama, bangsa dan politik tidak menghalang sedikit pun pelaksanaannya sekiranya
difahami dan dilaksanakan dengan adil yang menjadi anutan semua manusia berbagaibagai
bangsa dan berbagai-bagai agama.
Pertama sumber kewangan. Islam mewajibkan sumber yang halal dan diambil
dengan cara yang adil. Dalam perbezaan perkara halal, Islam melarang paksaan
terhadap penganut agama lain, mengambil dan memanfaatkan sumber yang diizinkan
oleh agama masing-masing mengikut kepercayaan mereka dengan syarat meletakkan
sumber itu ke dalam simpanan khas bagi mereka dan untuk mereka dan tidak
disasarkan kepada penganut Islam.
Dalam mengendalikan urusan ini, pihak kerajaan masih tidak istiqamah dengan
tidak melakukan pengasingan ini. Kerajaan negeri di bawah PAS diberi arahan supaya
melaksanakan perkara ini dan saya percaya akan diikuti oleh rakan-rakan Pakatan
Rakyat. Sumber judi, arak dan riba yang haram dengan nyata masih lagi bergelumang
bersama sumber kewangan negara bahkan dianggap terpenting. Begitulah kenyataan
pemimpin-pemimpin yang mengaku menganut Islam walau pun Allah menegaskan
dengan amaran yang keras dan tidak ada dalam sejarah dunia yang maju dengan duit
judi, arak dan riba. Apa yang berlaku ialah keruntuhan negara dengan sebab judi, arak
dan riba. Pelesenan judi di bawah kuasa Kementerian Kewangan, Kerajaan Pusat
bukannya kerajaan negeri.
Sangat malang dan memalukan apabila kita adalah negara yang mempunyai
pusat judi yang terbesar di rantau ini dan bertaraf antarabangsa. Kegiatannya sentiasa
bertambah dengan keizinan kerajaan di atas nama kawalan. Banyak amaran Allah
terhadap haramnya judi. Apa yang diharamkan wajib membawa mudarat dan penyakit
kalau ada manfaatnya terlalu sedikit dan tidak boleh menampung bencana daripada
penyakit.
Firman Allah Taala [Membaca sepotong ayat al-Quran] Mafhumnya; “Mereka
bertanyakan mu berkenaan arak dan judi. Katakan kepada mereka pada keduanya
dosa yang besar dan ada beberapa manfaat kepada manusia namun dosa keduaduanya
lebih besar daripada manfaat yang dihasilkan.”
Seluruh penyelidikan kemasyarakatan sama ada Islam atau bukan Islam
mengakui hakikat ini bahawa sebarang bentuk judi menyebabkan gejala negatif yang
merugikan lebih besar daripada hasil kewangan. Di antara hasil kewangan negara ialah
perusahaan arak dan judi yang dibangunkan lebih besar dari zaman penjajah. Sumber
kewangan negara masih juga dalam pergantungan hutang yang berlandaskan riba dan
amalan yang berlandaskan riba. Di antara sebab kemusnahan parah yang menimpa
sistem liberal kapitalisme yang dijulang oleh kuasa besar barat ialah riba.
Allah SWT mengharamkan riba dengan sekeras-kerasnya dengan amaran dunia
dan akhirat. Sudah pasti riba sebenarnya penyakit barah ekonomi khususnya aspek
kewangan. Allah memberi amaran dengan firmannya [Membaca sepotong ayat Al-
Quran] Yang bermaksud “Allah menghapuskan berkat dan kebaikan daripada riba dan
memberi keuntungan kepada segala sedekah yang bersifat tolong-menolong dan Allah
tidak mengasihi setiap keingkaran dan dosa”.
Allah juga memberi amaran keras terhadap mereka yang melakukan amalan riba
melalui firmanya [Membaca sepotong ayat al-Quran] Yang bermaksud “Wahai orangorang
yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan mematuhi segala perintahnya
dan meninggalkan larangannya dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benarbenar
menjadi orang-orang yang beriman, maka jika kamu tidak melakukannya dengan
menunaikan perintah Allah yang mengharamkan riba itu bermakna kamu mengizinkan
Allah dan rasulnya mengisytiharkan perang terhadap kamu dan jika sekiranya kamu
bertaubat maka itu untuk kamu ialah modal harta kamu yang sebenar dalam keadaan
kamu tidak menzalimi dan dizalimi”.
Walaupun muamalat Islam dikembangkan dalam bidang perbankan dengan
berbagai-bagai aktiviti dengan jumlah kewangan yang besar dan menerima pelaburan
asing tetapi kemungkaran riba tidak dicegah dengan bersungguh menyebabkan hasil
kewangan yang tidak saksama dengan tepat. Sumber kewangan juga diambil melalui
cara zalim terhadap rakyat dan negeri. Kami tetap menegaskan bahawa merampas
royalti petroleum daripada Terengganu dan menafikan hak Kelantan adalah satu
kezaliman yang haram termasuklah peruntukan dan pengurusan hasil kekayaan di
Sabah dan Sarawak masih tidak dapat menyelesaikan kemudahan asas setelah berlalu
kemerdekaan setengah abad.
Mengikut sistem federalism dalam Islam, kita tidak boleh memunggah hasil
mana-mana negeri di bawah jajahan takluk selagi kita tidak menyelesaikan masalah
negeri yang menghasilkan sumbangan itu. Termasuk juga cukai-cukai dan denda yang
tidak berpatutan, membebankan rakyat miskin yang berada di seluruh negara. Bayaran
yang diwajibkan pada rakyat lebih besar daripada yang wajib dilakukan oleh kerajaan
tetapi tidak dilaksanakan dengan sempurna seperti rawatan, pendidikan dan kemudahan
asas. Kerajaan menjadikan perkara-perkara tersebut salah satu daripada sumber
kewangan negara yang dibebankan kepada rakyat.
Tuan Yang di-Pertua, terlalu banyak sumber-sumber alam kurniaan Allah di
tanah air kita ini dan semua yang boleh diambil daripada kalangan mereka yang kayaraya.
Akan tetapi malangnya tidak dikendalikan dengan betul lalu membebankan rakyat
secara menyeluruh termasuk di kalangan yang miskin tanpa membetulkan proses
memanfaatkan sumber alam dan mereka yang kaya-raya tidak diatur supaya menjadi
penyumbang yang sistematik dan adil dengan pencapaian produktiviti yang menjadi
hasil negara. Puncanya adalah kerana salah urus, dibayangi rasuah dan monopoli yang
haram.
Di antara puncanya juga ialah campur tangan politik yang melampau dalam
urusan sehingga menjadikannya sentiasa tidak mencukupi. Kerajaan menjadikan
sumber kekayaan negara berkisar di kalangan orang-orang yang tertentu tanpa peduli
larangan Allah. [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Maksudnya; “Supaya jangan
berkisar di kalangan orang-orang kaya yang tertentu yakni di kalangan kaya-raya yang
berkeliaran di sekeliling pihak yang berkuasa dengan sumbangan kewangan untuk
mengukuhkan pengaruh dengan rasuah sehingga kewangan tidak diurus dengan
saksama”.
Rukun yang kedua pengurusan. Saya sangat menghargai kakitangan dan
pegawai kerajaan yang mengendalikan urusan menjayakan belanjawan mengikut
bidang masing-masing. Mereka adalah kalangan yang berpelajaran, berpengalaman
dan berkebolehan yang bertaraf tinggi contohnya rakan-rakan yang sama melarikan diri
berkhidmat di negara luar, mendapat pujian di negeri tempat mereka berkhidmat.
Mengapa mereka yang berada dalam negeri mengalami halangan yang
menjadikan segala rancangan Malaysia yang terdahulu tidak mencapai matlamat yang
memuaskan dan kita merasa bimbang Rancangan Malaysia yang sedang dan akan
datang mengalami nasib yang lebih buruk. Di antara puncanya ialah wujudnya roh
politik kepartian yang sangat kuat dalam pentadbiran dan pelaksanaan di semua
peringkat, perjawatan, kenaikan pangkat dan pertukaran tidak berdasarkan dan
berkonsepkan kebolehan dan kelayakan yang sebenar.
Dalam negara demokrasi yang maju, para pegawai mengambil tempat dan
bertugas secara profesional bukannya kepartian. Mereka boleh menganut apa sahaja
fahaman politik yang mereka pilih dan mereka bekerja dan bertugas secara profesional
untuk negara di bawah kerajaan yang memerintah tanpa mengira parti dengan tekun
berkhidmat kepada negara dan masyarakat.
_1640
Adapun di negara kita ini dirasuk hantu politik kepartian di semua peringkat dari
atas sampai ke bawah. Di peringkat atas, semua tahu, mereka yang berada di atas
mungkin terlalu tinggi, tidak nampak apa yang berlaku di bawah terutamanya yang
paling bawah. Pengurusan di bawah diganggu oleh lapisan yang dinamakan JKK.
Mereka yang dilantik oleh parti di peringkat cawangan bagi menjamin rakyat menyokong
parti secara paksa dan mengugut semua kelulusan permohonan, bermula daripada
bantuan kebajikan bagi menyara hidup sehinggalah borang para pelajar di semua
peringkat wajib mendapat pengesahan JKK. Terpaksa terhegeh-hegeh menyembah
JKK sebelum dihantar ke jabatan-jabatan. Para pegawai wajib menerima pengesahan
JKK, seolah-olah JKK lebih besar dan berperanan daripada pegawai-pegawai yang
berpengajian tinggi.
Ini antara penyakit pengurusan yang sedang membarah sekarang. Ramai wakil
rakyat BN pula bergantung kemenangan pilihan raya. Kepada JKK, sudah tentu mereka
mempertahankan golongan ini habis-habisan walaupun merosakkan pengurusan dan
pentadbiran. Bagi menyalurkan bajet ini kepada sasarannya secara bijaksana,
bukannya ‘bijaksini’.
Tuan Yang di-Pertua, negara sedang mengalami kepimpinan yang tidak menjadi
teladan walaupun slogan ini pernah diuar-uarkan beberapa dekad yang lalu dan berada
dalam lipatan sejarah. Kita telah menyaksikan projek-projek gagal, sedang dan akan
terus menyaksikannya. Di pertengahan tahun wajib dibentangkan dalam Dewan ini
peruntukan tambahan. Kita tidak mahu peruntukan tambahan kerana kejahatan
manusia dengan sengaja, bukannya bencana yang tidak boleh dielak.
Saya adalah Melayu yang tidak lupa dengan peristiwa stadium runtuh, stesen
bas runtuh, bangunan makmal di sekolah runtuh, sehingga bumbung masjid ada juga
yang runtuh. Mereka yang bertanggungjawab tidak nampak dan tidak didengari ada
yang diambil tindakan. Mungkin menunggu supaya dilupakan dan terus mendapat
projek baru. Bayangan rasuah belum hilang walaupun ada kedengaran tindakan yang
diambil tetapi secara terpilih. Saya yakin negara yang dihinggapi politik wang dalam
pemilihan parti dan pilihan raya tidak mampu mengatasi penyakit rasuah, jauh sekali
untuk menghapuskannya. Saya serahkan kepada rakan-rakan yang lain menyebutnya
secara detail.
Tuan Yang di-Pertua, saya baru pulang dari lautan dalam bersama nelayan dan
saya menyaksikan sendiri bagaimana kapal pukat tunda yang berkuasa tinggi
membersihkan laut daripada batu karang, tempat pembiakan ikan di samping
membaham unjam-unjam menarik ikan dan bubu nelayan kecil, kumpulan lanun ini
bergerak dengan bebas dan berlesen besar. Bukan sahaja mengganggu nelayan kecil
dan sederhana, tetapi sangat berbahaya kerana menghapuskan benih hasil laut dan
kawasan pembiakan di dasar laut. Ikan-ikan yang besar dibawa ke luar negara.
Ikan-ikan yang sederhana, kecil dan kurang mutu dibawa ke darat untuk dijual
atau dibuat baja. Saya dimaklumkan juga bahawa tuan punya di darat, pekerjanya dari
negara asing, tuan punyanya berada di darat, bukan di laut. Pekerjanya dari negara
asing. Di antara kegiatannya juga ialah mengisi minyak subsidi dengan banyak untuk
dijual di laut. Ada kalangan penguat kuasa memaklumkan kepada saya, tidak boleh
diambil tindakan kerana jerung di darat terlalu besar, menganga mulut untuk menelan
kami.
Tuan Yang di-Pertua, walaupun banyak negara dalam dunia termasuk negara
maju mengharamkan sebarang cara yang merosakkan hasil laut, tetapi kita masih
berterusan dengan amalan makhluk perosak ini. Saya mencadangkan supaya pihak
yang lebih berkuasa bertindak dengan berani dan telus bagi menyelamatkan keadaan.
Lebih daripada 50% nelayan pukat sederhana dan kecil terpaksa menjual bot, pukat dan
alat-alat nelayan bagi mencari pekerjaan yang lain tanpa suatu jaminan yang kukuh.
Keadaan yang sama berlaku di kawasan sungai dan tasik di Malaysia Timur dan Barat.
Tuan Yang di-Pertua, yang ketiga berkenaan dengan sasaran. Rancangan
memajukan negara yang membawa kebaikan kepada rakyat tidak mencapai sasaran
sekiranya sumber kewangan berpusing di kalangan orang-orang yang tertentu, di
kalangan kroni dan mereka yang tidak layak menerimanya. Perbelanjaan negara tidak
bermanfaat sekiranya diletakkan tidak kena pada tempatnya atau tidak sampai kepada
sasaran yang sebenar atau mereka yang diberi peluang tidak layak melaksanakannya
dengan berjaya. Pendekatan menjadikan hasil kekayaan berpusing di kalangan mereka
yang tertentu daripada pemimpin kepada kroni dan ada bahagian untuk pemimpin dan
diberi peluang lagi kepada kroni. Hanya sedikit sahaja yang turun kepada sasaran yang
sebenar.
Inilah hasil politik wang yang membentuk amalan yang begitu rupa. Amalan ini
diakui sendiri oleh pemimpin-pemimpin utama Barisan Nasional. Syarat pertama untuk
mendapat projek ialah pengesahan menjadi penyokong kuat Barisan Nasional. Syarat
pertama untuk mendapat kemudahan bantuan dalam segala bidang ialah mendapat
tandatangan pengesahan daripada JKK. Yang menjadi mangsa terbanyak termasuk
kalangan bumiputera sendiri yang diberi hak istimewa.
Saya sangat menghargai semua kaum yang menjadi rakyat negara ini, yang
menerima hakikat hak bumiputera yang perlu dibela dengan hak istimewa kerana jumlah
mereka lebih besar dan majoriti berada di kawasan yang tiada kemudahan hidup.
Dalam masa yang sama, tanpa menafikan hak kaum lain yang terbengkalai. Semua
ketetapan ini hendaklah diamalkan dengan cara yang benar dan saksama. Jangan
dipengaruhi oleh fanatik kepartian yang lebih sempit daripada fanatik kaum yang lebih
parah berbahayanya.
Tuan Yang di-Pertua, hari ini kita melihat wujudnya gejala perkauman yang
sengaja dibangkitkan semula. Saya suka menegaskan bahawa Islam tidak menghalang
semangat kecintaan kepada kaum masing-masing kerana perkara ini menjadi naluri
manusia dan Islam mewajibkan hubungan sesama keluarga secara wajib yang
dinamakan silaturahim, yang diharamkan memutuskannya. Semua para Rasul
melahirkan kecintaan kepada kaum bangsanya dalam ucapan mereka. Al-Quran
mengesahkan semua Rasul menyampaikan ucapan, [Bercakap dalam bahasa Arab]
“Wahai kaum bangsa kesayangan ku, abdikan diri kepada Allah.” Inilah ucapan para
Rasul, menunjukkan kecintaan mereka kepada kaum masing-masing.
Allah sendiri berfirman bahawa Dialah yang mewujudkan pelbagai bangsa dan
kaum kerana hikmah memasyarakatkan manusia secara sejagat, bukannya untuk
berpecah dan berkelahi sehingga berperang di antara satu sama lain. Firman Allah
SWT, [Membaca beberapa potong ayat Al-Quran] “Wahai manusia, sesungguhnya
Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan,
berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan di antara satu sama
lain.” Berkenalan dengan makna hidup bermasyarakat. Bertolong menolong dengan
bertukar keperluan dan kebolehan yang berbeza di kalangan pelbagai bangsa dan
pelbagai peringkat, menjadikan semua keperluan dapat dihasilkan secara kerjasama,
persaudaraan kemanusiaan.
Dalam kecintaan kepada bangsa masing-masing, Allah meletakkan garis
panduan. Di antaranya ialah firman Allah SWT, [Membaca beberapa potong ayat Al-
Quran] yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum
itu mempersendakan kaum yang lain. Boleh jadi kaum yang dipersendakan itu lebih
baik daripada yang mempersendakannya. Dan janganlah kaum wanita
mempersendakan wanita yang lain. Boleh jadi wanita yang dipersendakan itu lebih baik
daripada yang mempersendakannya. Dan janganlah kamu mencela sesama kamu dan
jangan memberi gelaran yang menghina. Seburuk-buruk nama ialah fasik selepas
beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat, mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Apabila Allah mengaitkan amalan ini dengan iman dan fasik, menunjukkan
bahawa mempersendakan kaum, besar dosanya dalam agama Islam sehingga menjadi
fasik yang tidak layak menjadi saksi di mahkamah. Islam juga melarang fanatik kaum
yang dinamakan assabiah. Sabda Rasulullah SAW, [Membaca Hadis] yang
bermaksud, “Bukan daripada kalangan kami, orang Islam yang sebenar, orang yang
mengajak ke jalan assabiah.” Bukan daripada kalangan kita, orang yang berperang di
atas dasar assabiah dan bukan di kalangan kita, orang yang mati kerana assabiah.
_1650
Lalu ditanya, “Apakah makna assabiah itu?” Jawab Rasulullah SAW, [Membaca
sepotong hadis] iaitulah “Kau menolong kaummu di atas perkara yang zalim.”
Ini menunjukkan bahawa tidak menjadi salah sayangkan kaum masing-masing
dan membela kaum masing-masing tetapi salah dan sesat apabila dijadikan kecintaan
kaum suatu akidah perjuangan yang melampau. Islam mengharamkan zalim dan
menghina serta mengejek di kalangan kaum, sehinggakan Nabi kita Muhammad SAW
mengambil tindakan disiplin yang keras terhadap para sahabat yang menghina kaum.
Dalam satu peristiwa, Nabi Muhammad SAW bangun berdiri apabila dibawa jenazah
seorang penganut agama Yahudi untuk dikebumikan. Apabila ditanya mengapa bangun
kerana dia seorang Yahudi, jawabnya, “Dia juga seorang manusia”. Maksudnya
menghormati kemanusiaan walaupun terhadap Yahudi yang paling bermusuh dengan
Islam.
Islam mewajibkan penganutnya menghormati dan membantu ibu bapa dan
keluarga yang beragama lain bagi menjaga hubungan kekeluargaan dan kemanusiaan.
Bermakna kecintaan kepada bangsa dan membela bangsa masing-masing yang lemah
tidak menjadi kesalahan tetapi hendaklah dipelihara juga hubungan kemanusiaan.
Apabila kecintaan kepada bangsa dijadikan akidah yang mengatasi perintah agama
supaya berlaku adil terhadap semua dan bersifat kemanusiaan kepada semua adalah
haram. Perpaduan rakyat Tuan Yang di-Pertua, sangat penting bagi menegakkan
negara kerana rakyat adalah salah satu rukun bagi negara. Kekukuhan perpaduan di
kalangan rakyat gagal diwujudkan berasaskan fanatik kaum. Dalam masa yang sama,
hak sesuatu kaum dalam negara tidak boleh dihapuskan sekali-kali. Perpaduan dapat
diwujudkan dengan menyuburkan sifat kemanusiaan bersama mengikut naluri,
bukannya dengan perasaan membuta-tuli.
Tuan Yang di-Pertua, semua kaum mengakui golongan bumiputera merupakan
majoriti dan paling ramai dipinggirkan kerana pengurusan yang salah yang wajib
diperbetulkan. Dalam masa yang sama, wajib disedari bahawa kaum lain adalah
hakikat menjadi rakyat tempatan yang tidak harus dilabelkan dengan kata-kata yang
menyakitkan perasaan atau sendaan-sendaan yang boleh mengeruhkan keadaan.
Islam meletakkan sikap begini adalah amalan jahiliah yang wajib dikuburkan dan Allah
memuliakan sesuatu kaum dengan berpegang kepada ajaran Islam. Sejarah Islam
membuktikan bahawa kepimpinan negara Islam tidak tertetap di tangan bangsa Arab
sahaja. Apabila bangsa Arab meninggalkan Islam, kepimpinan bertukar kepada bangsa
bukan Arab yang berpegang dengan Islam.
Tuan Yang di-Pertua, keamanan dan keselamatan. Mutakhir ini kita mengalami
gejala jenayah berat dan ringan yang tersebar luas dalam keadaan yang
menggerunkan, menunjukkan tidak ada kehebatan undang-undang menjadikan keadaan
tidak selamat daripada jalan raya sehingga dalam rumah sendiri. Sudah banyak
mangsa yang dilaporkan terbunuh, hilang, cedera, kehilangan harta dan maruah diri.
Hilangnya peri kemanusiaan menunjukkan kegagalan undang-undang, kelemahan
penguatkuasaan dan badan kehakiman. Marilah kita mengaku kesilapan secara ikhlas
kerana Allah sentiasa membuka pintu taubat seluas timur dan barat, sepenuh langit dan
bumi. Jangan bersikap angkuh, lalu tidak berlaku adil terhadap diri sendiri sehingga
menutup kelemahan kerana sikap begini akan membawa kemusnahan.
Tuan Yang di-Pertua, pencapaian kemajuan negara sangat berkait dengan
keadaan keselamatan yang menunjukkan kelemahan dalam dasar dan sistem program
pembangunan insan kerana tidak memenuhi keperluan manusia mengikut fitrah mereka
dari segi jasad dan roh individu dan masyarakat. Aspek ini berkait dengan peranan
pendidikan dan media yang mempengaruhi perkembangan ilmu dan minda. Sistem
pendidikan yang gagal melahirkan insan yang beriman dan budiman – bukan sahaja
berilmu tetapi beriman dan budiman.
Pembangunan insan menjadi rukun pertama kepada pembangunan tamadun
sesuatu umat, aspek kebendaan adalah selepasnya. Semua negara kuasa besar yang
musnah ketika mereka berada di kemuncak kekayaan sehingga berjaya mendirikan
bangunan yang hebat, tinggi dan kukuh berada di kemuncak kekuatan sehingga
menjajah kaum lain tetapi tidak beriman dan budiman. Persediaan pembangunan insan
bukan sahaja membangunkan pusat-pusat pendidikan dari segi bangunannya di semua
peringkat yang tersergam indah dan kakitangan yang bergaji lumayan, tetapi juga
sangat bergantung dengan dasar pendidikan dan sistem yang merangkumi aspek naluri
manusia.
Pembangunan insan hendaklah membentuk akal dan rohani, bukan sahaja jasad
yang dilihat. Islam mewajibkan semua ilmu berlandaskan iman sehinggakan tidak ada
pemisahan di antara ilmu duniawi dan ilmu agama kerana perhitungan dosa, pahala
berkait dengan seluruh kegiatan manusia. Begitulah juga akhlak yang mulia, inilah cara
melahirkan manusia yang ikhlas kepada tuhan dengan ilmu dan akhlak yang luhur,
menjadi anggota yang berwibawa membangun umat dan negara, rela berkhidmat
dengan penuh pengorbanan dan efisien. Gejala bekerja kerajaan kerana tidak ada kerja
di tempat lain, lebih suka berkhidmat di luar negara kerana mengejar gaji lebih dan
keselesaan yang lebih, masalah birokrasi, rasuah, projek terbengkalai gagal dan
sebagainya menandakan kelemahan dalam pembangunan insan. Maka sistem
pendidikan dan pentadbirannya hendaklah dilakukan secara islah.
Peranan media sangat penting bagi melahirkan rakyat yang beriman, budiman
dan berilmu. Sepatutnya melahirkan rakyat yang minat berfikir dan berilmu dengan
minat membaca dan mengkaji, sebaliknya melahirkan rakyat yang minat berhibur dan
berkhayal. Keadaan lebih berbahaya pada zaman langit terbuka tanpa sempadan.
Tuan Yang di-Pertua, di awal kemerdekaan, kita pernah menobatkan bahasa
Melayu menjadi bahasa kebangsaan yang rasmi. Dewan Bahasa dan Pustaka
ditubuhkan bagi memperkasakan bahasa kebangsaan sehingga bahasa ini berjaya
menjadi bahasa perantaraan berbagai kaum yang diterima sehingga ke peringkat
terbawah di kampung Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain sehingga berjaya
menghubungkan semua kaum supaya mengeratkan perpaduan tanpa menafikan
bahasa ibunda kaum masing-masing dan mata pelajaran bahasa asing bagi
perhubungan antarabangsa dan menimba ilmu di seluruh pelosok dunia. Usaha
dilakukan untuk mengembalikan semula bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu yang
pernah berlaku di rantau ini sehingga digunakan oleh beratus juta manusia ketika
bangsa lain memperkasakan bahasa mereka seperti Jepun, China, Jerman dan lain-lain
sehingga berjaya menembusi kedudukan di peringkat antarabangsa dalam lapangan
yang luas, tiba-tiba pemimpin kita kehilangan jiwa bangsanya sehingga segan
berbahasa dengan bahasa kebangsaan sendiri walaupun dalam negeri sendiri.
Keadaan menyebabkan kedudukan bahasa kebangsaan dipinggirkan dalam tanah air
sendiri.
Tuan Yang di-Pertua, dalam negara maju, bajet perlu dipantau. Pada zaman
kegemilangan Islam, amalan ini pernah dilaksanakan apabila kewangan negara bukan
sahaja dipantau sumbernya termasuklah juga pengurusannya dan sasaran. Dalam
negara moden, berlaku lebih sistematik dengan melibatkan tiga pihak yang memantau –
politik, pentadbiran dan awam. Pihak politik, belanjawan negara bukan sahaja melalui
pembentangan di Parlimen untuk mengesahkannya dari segi perundangan, apa yang
terpenting ialah juga dipantau melalui soalan dan perbahasan wakil rakyat dan jawapan
para Menteri Kabinet. Pemantauan tidak berlaku dengan tepat sekiranya banyak soalan
ditolak dan Yang Berhormat Menteri yang bertanggungjawab tidak hadir menjawab dan
memberi penjelasan. Dibimbangi ada sesuatu kecacatan yang disembunyikan dan
menghalang kritikan-kritikan membina.
Pihak kerajaan dan pembangkang sama-sama bertanggungjawab. Pihak
pembangkang hendaklah dianggap penasihat, bukannya musuh. Kalangan kerajaan
juga mestilah terbuka dan telus, diberikan hak yang sama untuk memberikan pendapat
termasuk mengkritik dengan bebas tanpa syarat yang mengganggu hak memberi
pendapat yang berbeza. Kalangan pentadbiran yang mengurus dan mengendalikan
secara langsung bukan sahaja memantau dari segi auditan yang khusus kepada aspek
kewangan tetapi termasuk juga yang lain jika berlaku kerana yang diambil kira bukan
sahaja perbelanjaan kewangan tetapi termasuklah juga pengurusan dan
pelaksanaannya. Perkara yang menjadi tujuan ini adalah tercapai atau tidak.
Pihak awam juga diberi hak yang sama memantau bajet kerana masyarakat
awam adalah sasaran utamanya. Individu yang berkepakaran melalui NGO dan media
juga berhak memantau perjalanan jentera kerajaan dan politik bagi menggunakan
jumlah wang yang diamanahkan. Kadang-kadang pendedahan hak ini menyedarkan
yang salah dan silap.
Penguatkuasaan OSA adalah langkah yang sangat negatif kerana menghalang
hak yang adil terhadap negara bagi kebaikan kerajaan dan rakyat. Undang-undang ini
lebih bersifat menyembunyikan kesalahan dan kelemahan. Kerajaan yang kuat dan
teguh bersifat berani walaupun menghadapi tuduhan dan tohmahan. Tuduhan yang
benar memberi kesempatan melakukan pembaikan dan pembetulan. Tuduhan yang
salah perlu dijawab dan ada cara lain untuk bertindak terhadap penyebar fitnah. OSA
menjadikan kerajaan berlagak maksum, bersih sepanjang masa. Hanya mereka yang
berjuang mengekalkan kuasa sahaja bersifat demikian.
Peraturan alam daripada Allah menetapkan bahawa hanya kerajaan Allah sahaja
yang kekal. Semua kerajaan makhluk tidak kekal walaupun pemimpinnya seorang rasul
yang paling bersih yang mempunyai mukjizat. Allah mengisahkan satu kerajaan yang
hebat tamadun kebendaannya, lalu berlagak dia sahaja yang betul dan
memperbodohkan rakyat dengan kesenangan dan kemewahan. Firman Allah SWT,
[Membaca sepotong ayat dari Al-Quran]
Maksudnya, ‘Firaun (Raja Mesir) menyeru kaumnya dengan menyampaikan
ucapan, “wahai kaum ku tidakkah aku yang memiliki kerajaan negeri Mesir ini? Riaklah
sungai yang mengalir di bawah arahan ku masuk ke kebun dan ladang. Adakah kamu
tidak dapat melihatnya aku lebih baik daripada orang yang hina ini yakni Nabi Musa
yang menentang kerajaannya yang tidak dapat memberi penjelasan dengan nyata
mengapa tidak diberikan kepadanya gelang-gelang emas tanda pangkat kebesaran atau
para malaikat yang datang mengiringinya.
Lalu raja itu dapat menjadikan rakyatnya lemah dan bodoh lalu mentaatinya
secara melulu. Sesungguhnya mereka menjadi orang-orang yang fasik. Maka tatkala
mereka melakukan perkara-perkara yang menyebabkan kami murka, kami pun memberi
hukuman seksa ke atas mereka. Lalu kami tenggelamkan mereka semua, maka kami
jadikannya pengajaran kepada umat yang terdahulu dan contoh kepada umat yang
kemudian”.
Kebanyakan pengkaji sejarah zaman kini hanya melihat aspek kehebatan
tamadun kebendaan tanpa melihat kezaliman yang tersirat membawa akibat-akibat
buruk di sebalik tamadun itu. Allah SWT memerintah supaya kita sentiasa terbuka
kepada kebebasan mencari kebenaran dan nasihat-menasihati, kritik yang membina.
Firman Allah Taala. [membaca sepotong ayat al-Quran] “Demi masa sesungguhnya
manusia itu dalam kerugian melainkan orang-orang yang beriman yang mengerjakan
amal yang baik dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan
kesabaran”.
Tuan Yang di-Pertua, kejayaan bajet ini ialah meneruskan apa yang baik
sebelum ini. Apa yang baik sebelum ini diteruskan dan berani membuat muhasabah
serta membetulkan kesilapan, menampung yang kurang, menguatkan yang lemah.
Perjalanannya hendaklah memenuhi rukun kejayaan serta bersikap terbuka kepada
semua pihak yang memberi teguran. Saya tertarik dengan persembahan bajet yang
bermukadimah al-Quran daripada Surah al-Qassas - Ayat 77.
Ayat ini sebenarnya berkait dengan pengajaran daripada cerita Qarun yang
dibinasakan oleh Allah, yang dibinasakan bersama dengan harta kekayaan. Untuk
merangkumi pengajarannya, mestilah dibaca 76 sehingga 84. Sila rujuk kepada Al-
Quran, saya petik ayat itu. [membaca sepotong ayat al-Quran] Yang bermaksud,
“sesungguhnya Qarun adalah termasuk kalangan kaum Musa, maka dia berlaku zalim
terhadap mereka. Dan kami telah mengurniakan kepadanya perbendaharaan harta
yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang-orang yang kuat. Ketika
kaumnya berkata kepadanya, janganlah kamu terlalu bangga dengan kekayaan itu.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri dan
carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepada mu, kebahagiaan di akhirat.
Dan janganlah kamu lupakan bahagian mu dari kenikmatan dunia dan berbuat baiklah
kepada orang lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada mu. Janganlah kamu
berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang
yang berbuat kerosakan”.
“Qarun berkata, sesungguhnya aku hanya diberi harta itu kerana ilmu yang ada
pada ku dan apakah ia tidak mengetahui bahawasanya Allah sungguh telah
membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak
mengumpulkan harta. Tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu
tentang dosa-dosa mereka. Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahan,
berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia, moga-moga kiranya kita
mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun. Sesungguhnya ia benarbenar
mempunyai keberuntungan yang besar”.
Berkatalah orang-orang yang dikurniakan ilmu kepadanya, “kecelakaan yang
besarlah bagi mu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan
beramal soleh. Tidak diperolehi pahala itu kecuali oleh orang-orang yang sabar. Maka
kami benamkanlah Qarun berserta rumahnya, hartanya ke dalam bumi. Maka tidak ada
baginya satu golongan pun yang menolongnya terhadap azab Allah dan tiadalah ia
termasuk orang-orang yang dapat membela dirinya. Jadilah orang-orang yang kelmarin
mencita-citakan kedudukan Qarun itu berkata, aduhai, benarlah Allah melapangkan
rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki dari hamba-hambanya dan menyempitkannya.
Kalau Allah tidak melimpahkan kurnianya atas kita, benar-benar Dia telah
membenamkan kita pula.
Aduhai benarlah tidak beruntung orang-orang yang ingkar nikmat Allah. Negeri
akhirat itu kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan
berbuat kerosakan di muka bumi dan kesudahan baik itu adalah bagi orang yang
bertakwa. Barang siapa yang datang dengan membawa kebaikan, maka baginya
pahala yang lebih baik daripada kebaikannya. Barang siapa yang datang dengan
membawa kejahatan, maka tidaklah diberi pembalasan kepada orang-orang yang telah
mengerjakan kejahatan itu melainkan seimbang dengan apa yang dahulu mereka
kerjakan”.
Akhirnya kita mendapat pengajaran, Qarun mendapat kecelakaan kerana
sumber harta yang haram dan mengurus secara zalim, hanya modal harta tanpa modal
insan yang sebenar. Kebahagiaan dunia sepatutnya menjadi jambatan bahagia
sementara waktu di dunia dan kebahagiaan kekal di hari akhirat, tiba-tiba celaka di
dunia dan lebih celaka di akhirat. Modal insan yang sebenar hendaklah membina roh
dan jasad, individu dan masyarakat. Bermakna dengan ilmu, iman dan akhlak, saya
tidak nampak kejayaan akan dicapai dengan sistem pendidikan yang tidak berjiwa
bangsa kerana meminggirkan bahasa kebangsaan. Tidak beriman dan berakhlak
kerana bergantung dengan guru daripada negara barat. Kuasa pihak pentadbir dan
pendidik dihapuskan walaupun dibekalkan dengan gaji yang lumayan.
Dalam aspek agama pula, menyalahgunakan guru siswazah agama sekadar
mengajar membaca dan menulis melalui program j-QAF. Taraf imam masjid lebih hina
daripada JKK dan tok batin. Daripada mana sumber kewangan yang hendak
dibersihkan kalau di antara projeknya sebuah kasino untuk bersaing dengan Resort
World Sentosa di Singapura. Bagaimana untuk pencapaian taraf negara maju kalau
pekerjanya masih mengemis? Isu gaji minimum baru di peringkat menubuhkan majlis
konsultasi.
Amalan boros masih diteruskan dengan pembiayaan projek mewah untuk
kemegahan dan kepentingan segelintir manusia dan mengabaikan majoriti rakyat.
Rasulullah SAW pernah bersabda, “antara tanda akhir yang membawa kemusnahan
alam ialah [membaca sepotong ayat dalam bahasa Arab] apabila kamu melihat
berlakunya orang-orang yang dahulunya berkaki ayam tanpa kasut, tanpa pakaian
kerana terlalu miskin. Gembala-gembala ternakan, tiba-tiba mereka berlumba-lumba
mendirikan bangunan-bangunan tinggi yang mencakar langit”.
Saya memberi amaran bahawa penerusan membina menara bangunan tinggi
yang baru bukannya kemajuan tamadun tetapi permulaan kemusnahan tamadun.
Sekian, terima kasih.